Biarpun dilabel haram, 'Persidangan Love and Sex with Robots' di Johor tetap akan diteruskan.

Memetik laporan The Malay Mail, penganjur mendakwa tiada pihak meminta agar persidangan itu dibatalkan.

Profesor Adrian David Cheok, yang merupakan antara orang penting dalam penganjuran persidangan tersebut memberitahu mereka tidak mempunyai sebarang masalah dengan pihak berkuasa dan setakat ini, tiada arahan rasmi daripada mana-mana pihak untuk membatalkan persidangan itu.

Cheok menambah pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah persidangan tersebut adalah berdasarkan kemajuan sains dan teknologi.

Biarpun membawa nama yang agak kontroversi, pihak penganjur dalam temuramah itu berkata ia hanya memfokuskan kepada isu sains, robotik dan teknologi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Selasa mengkritik persidangan tersebut dan melabelnya sebagai haram, selain turut memberi amaran penganjur boleh diambil tindakan jika meneruskan perancangan mereka.

Bakal berlangsung dari 16 hingga 19 November, persidangan itu akan menyaksikan ahli akademik membincangkan isu hubungan manusia dengan robot.