Pemimpin Pas, Datuk Takiyuddin Hassan hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu hari ini, untuk diambil keterangan ekoran satu laporan polis dibuat Pemuda PKR Cabang Ketereh, berhubung tuduhan ke atasnya yang dikatakan mempersoalkan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Bernama, laporan polis difahamkan dibuat ke atas Setiausaha Agung Pas itu, yang dikatakan mempersoalkan kuasa Agong yang memberi pengampunan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Takiyuddin tiba di IPD Kota Bharu pada jam 2.45 petang dengan ditemani kira-kira 30 penyokong.

Bercakap kepada pemberita selepas keterangannya diambil selama kira-kira dua jam, beliau menjelaskan, kehadirannya adalah bagi memberi keterangan mengenai ceramahnya pada kempen pilihan raya kecil Sandakan, 8 Mei lalu.

Menurutnya, dalam ceramahnya itu, beliau hanya menjelaskan yang Anwar tidak layak menjadi Perdana Menteri atau pemimpin negara memandangkan beliau adalah bekas banduan.

"Saya ingin menegaskan saya sama sekali tidak berniat mempersoalkan kuasa YDPA, yang memberi pengampunan kepada Anwar, apatah lagi Agong ketika itu (Sultan Muhammad V) adalah dari Kelantan, dan saya sebagai rakyatnya.

"Kuasa Agong adalah yang diberikan di bawah undang-undang, cuma kita sebagai rakyat mahu tahu siapa yang meminta pengampunan berkenaan," katanya.

Takiyuddin berkata, Anwar sudah disabitkan kesalahan dalam Mahkamah Persekutuan sekurang-kurangnya dua kes termasuk salah guna kuasa ke atas pegawai polis dan liwat.

Katanya, setakat ini kesnya diklasifikasikan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, kerana mengeluarkan kenyataan berbentuk provokasi dengan niat menimbulkan rasa tidak puas hati sehingga menyebabkan rusuhan dan sebagainya.

"Terserah kepada pihak polis untuk jalankan siasatan. Saya menghormati kuasa dan tanggungjawab mereka dan berharap langkah terbaik diambil berdasarkan undang-undang untuk selesaikan kes ini," katanya.

Sebelum ini, beberapa pemimpin Pakatan Harapan pernah membangkitkan perkara tersebut, termasuk Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir yang menyelar kenyataan Takiyuddin, menyifatkan ia "berniat jahat, biadap dan melampaui batas."

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Faiz Fadzil menyifatkan kenyataan Takiyuddin sebagai celupar dan tidak menghormati kuasa Agong dalam memberikan pengampunan tanpa syarat kepada Anwar pada 16 Mei 2018.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula berkata, kenyataan Takiyuddin "melawan" keputusan Agong kerana pengampunan penuh yang diberikan kepada Anwar sudah membersihkan rekod jenayah beliau.