Persidangan Dewan Rakyat hari ini terus hangat dengan perbahasan melibatkan hutang dan prestasi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Isu tersebut terus menjadi bahan pertikaman lidah antara Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan.

Jelas Guan Eng, Ahmad dilihat bermati-matian mempertahankan kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya kagum dengan Pontian (Ahmad) kerana habis-habisan mempertahankan 1MDB dan Pekan (Najib) apabila tidak ada seorang pun MP rela ambil peranan sedemikian.

“Ini sesuatu usaha yang desperado. Pontian terus mempertahankan 1MDB. Saya ucapkan syabas atas ketabahan untuk kerana perjuangkan sesuatu yang telah tinggalkan oleh semua rakan-rakan UMNO dalam Dewan (Rakyat) yang mulia ini.

“Tinggal Pontian sahaja ... kalau setia, setia habis-habisan,” katanya ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2019 peringkat jawatankuasa melibatkan kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Lanjutan itu, kedua-dua mereka saling membangkitkan kenyataan masing-masing sekaligus mencetuskan pertikaman lidah antara mereka.

Selepas memberi ruang Guan Eng meneruskan penggulungannya, Ahmad bangun dan menjelaskan beliau mempunyai sebab mengapa mempercayai penjelasan Arul Kanda dalam soal hutang ditanggung 1MDB.

"Saya tidak ada sebab untuk tidak percaya beliau. Pada saya dia seorang profesional dan berani menyatakannya di khalayak ramai, bukan sekali tetapi berulang kali bahawa aset 1MDB pada 19 Mac lalu adalah RM42 bilion dan hutang RM31 bilion. Saya mengambilnya dengann dengan suci hati.

"Kata YB (Yang Berhormat) (Guan Eng) dia (Arul Kanda) bohong, itu YB yang kata, tapi saya tidak percaya 100 peratus YB cakap. Sejak bila saya percaya 100 peratus cakap YB.

"Saya boleh percaya Arul pada peratusan tertentu tapi saya juga boleh percaya pada peratusan tertentu cakap YB. Tapi YB tak boleh paksa saya percaya 100 peratus kata YB," katanya.

Susulan itu, Guan Eng menyifatkan keputusan Ahmad itu seperti tindakan 'si luncai terjun dengan labu-labunya' lalu meneruskan ucapan penggulungannya.


Sementara itu, beliau berkata sebanyak RM9.974 bilion Wang Tidak Dituntut (WTD) diserahkan oleh entiti kewangan kepada Jabatan Akauntan Negara sehingga 31 Oktober 2017.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak RM1.875 bilion dibayar balik dan RM1.6 bilion dikreditkan dalam pindahan hasil kerana tidak dituntut dalam tempoh 15 tahun.
Ikuti video di bawah berkenaan penggulungan Guan Eng terhadap soalan-soalan yang dibangkitkan Ahmad.