Tugas paling mendesak bagi semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan gabungan politik ialah mempertahan keharmonian kaum dan agama di tanah air mereka, kata anggota Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau menegaskan mereka perlu prihatin terhadap masa depan Malaysia dan bersedia menjadi jambatan etnik dan bukannya hero kumpulan etnik masing-masing.

Malaysia, kata aktivis sosial itu, bukan sahaja perlu bebas daripada keganasan, jenayah dan kekejaman malah perlu bebas daripada masalah dan konflik disebabkan kebencian antara kaum dan agama.

"Adalah penting bagi Malaysia untuk terus wujud sebagai sebuah negara yang bersatu padu dan aman melalui kestabilan politik walaupun terdapat perbezaan pandangan dan ideologi politik," kata Lee pada Isnin dalam perutusan sempena Tahun Baharu Cina 2019.

Lee turut mahu semua pihak didedahkan kepada Rukun Negara dan sejarah negara supaya memahami dan menghormati hak, kepercayaan dan amalan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang agama dan etnik.

"Kita perlu ingat bahawa toleransi dan sikap saling hormat-menghormati...yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara adalah kunci kepada keamanan dan keharmonian dalam negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia," kata Lee.

Sementara itu, dermawan Sarawak terkemuka Datuk Seri Ang Lai Soon berkata rakyat Malaysia harus sentiasa berusaha untuk hidup secara aman dan harmoni.

Beliau berkata terdapat contoh rakyat di sesetengah negara lain yang enggan hidup bersama, menyebabkan konflik berterusan, kacau-bilau dan huru-hara.

"Mujurlah, kita tahu kita berbeza. Kita tahu kita boleh berfikir menggunakan akal fikiran dan ia harus dipertahankan," kata Ang dan menambah setiap pengalaman yang tidak menyenangkan harus menjadi pengajaran untuk menjadi negara yang lebih baik.

Beliau juga berkata Tahun Baharu Cina adalah masa untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik dalam masyarakat.

-- BERNAMA