Satu pertandingan pengucapan awam mengenai Dadah, Alkohol, Isu Hubungan, Pembaziran Masa dan Merokok (DARTS) akan diadakan sepanjang Jun ini bagi meningkatkan kesedaran generasi muda dalam usaha membasmi masalah sosial agar ia tidak menjadi berleluasa di negara ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata pertandingan itu, anjuran Sathya Sai Academy for Human Values dan Friendship Group for Inter-religious Service (FGIS), akan berlangsung di kolej dan institusi pengajian tinggi.

Menurut beliau, pendekatan bukan konvensional yang digunakan dalam pertandingan itu, akan mewujudkan gaya hidup positif dalam kalangan belia, yang boleh membawa perbezaan terhadap kesihatan mereka pada masa akan datang serta mendorong mereka untuk mengasingkan diri daripada tekanan kumpulan sebaya dan amalan salah.

"Usaha ini amat baik untuk memperkasakan generasi muda supaya mereka mengekang penyakit sosial dan meningkatkan produktiviti mereka serta mewujudkan gaya hidup lebih sihat.

"Penyakit sosial, terutama yang mempunyai kaitan dengan penyalahgunaan dadah dan alkohol, bukan perkara baharu di negara ini.

"Sebagai contoh, dulu hanya terdapat dadah tradisional seperti ganja dan candu, tapi sekarang, kanak-kanak tertarik kepada dadah sintetik yang lebih berbahaya dan lebih memudaratkan kesihatan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program pencegahan DARTS di kementerian beliau di sini pada Selasa.

Sementara itu, penyelaras FGIS, Prof Dr G. Suresh berkata memandangkan terdapat peningkatan kes DARTS yang dilaporkan di kolej dan institusi pengajian tinggi, maka usaha perlu dilakukan untuk menjngkatkan kesedaran pelajar tentang bahaya dan akibat buruk sekiranya mereka terjebak dengan perkara itu.

Mengenai pertandingan itu, beliau berkata ia terbuka kepada semua pelajar di mana setiap pemidato boleh menggunakan sama ada bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia untuk memperkatakan tentang mana-mana aspek DARTS selama tiga minit.

"Pusingan akhir akan diadakan di Brickfields Asia College, Kampus Petaling Jaya pada 1 Julai. Kami berharap ini akan menggalakkan sejumlah besar pelajar mengambil bahagian dan mempromosikan keharmonian hubungan antara agama dan kaum melalui khidmat masyarakat serta program nilai," katanya.

-- BERNAMA