Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin berkata tidak perlu disensasikan pertemuan di antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di kafeteria Parlimen hari ini kerana ia adalah perkara biasa.

Zuraida berkata, beliau sendiri juga pernah bertemu secara bersemuka dengan Anwar di Parlimen namun ia hanyalah pertemuan biasa tanpa membincangkan apa-apa urusan rasmi.

Bagaimanapun, Zuraida berkata, pihaknya mahu satu pertemuan dengan semua ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang dipilih diadakan segera.

"Saya pun pernah jumpa (Anwar) one on one (bersemuka) di Parlimen tetapi yang kita minta adalah untuk bertemu dgn semua elected members of MPP, itu yang saya minta. Kita hendak semua orang mengetahui apa isi perbincangan. Biasa sahaja Anwar jumpa saya, tidak ada perbincangan serius," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertemuan di antara Mohamed Azmin dan Anwar Ibrahim di Parlimen hari ini selepas menghadiri Konvensyen Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) 2019 bersempena Persidangan Asia Pasifik Urban Ke-7 (APUF-7) di Pusat Konvensyen SPICE, di Bayan Baru pada Selasa.

Pertemuan yang turut dihadiri Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menimbulkan perhatian ramai berikutan kedua-dua pemimpin itu sebelum ini dikatakan tidak sehaluan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

BACA: Azmin dah jumpa Anwar, Zuraida bila lagi?

Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebelum ini turut bertegas mahu berjumpa Anwar sebelum menghadiri semula mesyuarat biro politik mingguan dan Mesyuarat MPP parti itu setiap bulan.

Katanya, pertemuan itu disifatkan penting bagi memberi pandangan dan merangka hala tuju masa hadapan parti berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan Anwar tidak bersedia untuk berganjak dengan tuntutan Zuraida yang mahu ‘mesyuarat rekonsiliasi’ diadakan antara dirinya dengan mereka yang tidak puas hati terhadapnya.