Ahli politik Pakatan Rakyat (PR) hari ini menyambut baik cadangan Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah supaya pertemuan pasca pilihan raya diadakan di antara pemimpin PR dan Barisan Nasional (BN).

Saifuddin yang merupakan bekas Ahli Parlimen Temerloh mencadangkan BN dan PR mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu asas dan berkepentingan buat kedua-dua parti berkenaan.

Walaubagaimanapun, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua berkata pertemuan itu perlu dimulakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Parlimen Batu itu juga meragui apakah kedua-dua parti itu mampu menemui titik persamaan setelah Najib baru-baru ini menyentuh tentang "tsunami kaum Cina" setelah sejumlah besar pengundi Cina beralih kepada DAP.

"Apa gunanya (pertemuan itu) setelah Najib mengungkit tentang tsunami kaum Cina?," beliau memberitahu Astro Awani.

Namun begitu, Tian memberitahu Najib seharusnya menunjukkan keikhlasan dengan menjelaskan isu yang bakal dibincangkan sebelum mengadakan sebarang perjumpaan atau perbincangan.

Manakala Setiausaha Agung Parti Rakyat Malaysia (PRM) Al Jafree Yusop berkata tiada salahnya duduk berbincang kerana banyak isu yang dapat dibahaskan.

Berbincang mungkin langkah pertama mencari titik temu," jelas beliau.

Apabila ditanya apakah isu yang patut disentuh, Jafree berkata kedua-dua parti patut membincangkan keputusan dan salah laku dalam pilihan raya yang baru berlalu.

"Ini kerana hal ini semakin rumit. Saya takut ianya akan bertambah buruk," tambah beliau.

Sementara itu pengamal undang-undang, Profesor Emiretus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi menyokong cadangan Saifuddin.

Beliau memberitahu Astro Awani, parti-parti politik patut mengenepikan kepentingan masing-masing dan mencari jalan tengah yang membelenggu kedua-dua parti.

"Perjumpaan ini bakal memenuhi objektifnya. Inilah masa mencari sebarang kekurangan," jelas Shad.

Shad turut memuji Saifuddin dan menggelar beliau sebagai 'pemangkin kesederhanaan' dalam Umno yang menghubungkan inspirasi generasi muda.