Pertemuan tidak bincang isu peralihan kuasa - Dr Mahathir

Pertemuan tidak bincang isu peralihan kuasa - Dr Mahathir
Anwar berkata pertemuan yang berlangsung di Putrajaya pada Isnin menyentuh antara lain beberapa isu termasuk usaha memacu pelaburan domestik dan asing. Gambar Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tiada sebarang perbincangan berkenaan isu peralihan kuasa dalam pertemuan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Isnin.

Perdana Menteri berkata sebaliknya pertemuan dengan Presiden PKR itu hanya membincangkan isu-isu biasa sahaja.

"Kita cuma cakap biasa saja. Tiada apa-apa. Tiada pasal tu (peralihan kuasa)," katanya ketika ditemui pemberita di Rumah Terbuka Aidilfitri Maju Holdings, di sini, malam ini.

BACA: Tun M jumpa Anwar, 'bincang isu mutakhir dalam dan luar negara'
Dalam temu bual dengan stesen berita CNBC, perdana menteri dipetik berkata kerajaan beliau memerlukan tiga tahun untuk mengurangkan hutang Malaysia daripada 80 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 54 peratus.

Ketika ditanya pembaca berita CNBC, Tanvir Gill sama ada beliau akan terus memegang jawatan untuk melihat matlamat itu tercapai, Dr Mahathir berkata: "Tidak, saya tidak akan melebihi tiga tahun."

BACA: "Itu hanya andaian" ulas Anwar mengenai kenyataan Tun M berhubung serah jawatan PM

Ditanya pemberita malam ini mengapa beliau menyatakan tempoh tiga tahun berbanding dua tahun sebelum ini, Dr Mahathir berkata: "Saya tak kata tiga tahun, saya kata saya perlukan tempoh untuk betulkan kerja."

Dalam catatan di laman Facebook beliau, Anwar berkata pertemuan yang berlangsung di Putrajaya itu menyentuh antara lain beberapa isu termasuk usaha memacu pelaburan domestik dan asing.

-- BERNAMA