Ketika Kerajaan Negeri Sarawak komited membantu pihak yang dihimpit masalah kewangan ketika Perintah kawalan Pergerakan (PKP) menerusi Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKKS), ada pihak yang cuba bermain politik.

Antaranya Presiden Parti Rakyat Sarawak (PSB) Datuk Seri Wong Soon Koh yang mempersoalkan kemampuan kerajaan negeri membiayai BKSS.

Di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas menjawab segala tohmahan bekas Menteri Kewangan Kedua Sarawak itu.

“Adalah membingungkan untuk melihat seseorang yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan Kedua di Sarawak selama 15 tahun tidak peka dengan sistem kewangan negeri yang pernah disokongnya sebelum peletakan jawatannya kurang daripada setahun lalu.

“Saya tidak percaya bahawa Yang Berhormat (YB) Bawang Assan memilih untuk mengelirukan masyarakat umum bahawa tidak ada peruntukan rizab luar jangka dalam bajet 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya mengenai perkembangan semasa COVID-19 pada Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 di Kompleks DUN Baharu di sini hari ini.

Soon Koh dalam satu kenyataan yang disiarkan akhbar tempatan pada 5 Mei lepas mempersoalkan keupayaan Kerajaan Negeri Sarawak membiayai program BKSS dan mendedahkan tiada Dana Luar Jangka diluluskan untuk tahun 2020.

Mengulas lanjut Uggah berkata kerajaan negeri memiliki lebih daripada satu sumber kewangan untuk menampung perbelanjaan BKSS

"Sumber kewangan adalah daripada Dana Luar Jangka, Bajet pembangunan 2020 (Skim Mikro Kredit), simpanan daripada projek tidak terlaksana dan simpanan daripada Akaun Dana Pembangunan, RM1 bilion dana daripada Bank Negara (Dana Bantuan Khas)," jelasnya.

Untuk rekod setakat ini tiga program BKSS telah dilaksanakan melibatkan dana berjumlah RM2.55 bilion sejak diagihkan pada April lepas.