Kerajaan dilihat perlu mempertimbangkan cadangan melaksanakan Dasar Kebajikan Haiwan jika ingin terus menjadi sebuah negara yang maju, penyayang dan belas kasihan.

Penaung Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) Selangor, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, apa-apa bentuk kekejaman terhadap haiwan tidak boleh diterima dan pihak berkuasa yang berkenaan mesti menghentikan tindakan buruk itu dengan pelaksanaan dasar berkenaan.

"Kita perlu belas kasihan kepada semua haiwan kerana mereka adalah sebahagian daripada bumi kita dan kita mesti mencegah kekejaman terhadap mereka.

"Kezaliman terhadap haiwan adalah sama sekali tidak boleh diterima dalam masyarakat kita yang bertamadun. Apa-apa bentuk kekejaman terhadap haiwan tidak boleh diterima dan pihak berkuasa yang berkenaan mesti menghentikan tindakan buruk ini," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Menurut Lam Thye, rang undang-undang itu sudah dibentang di Parlimen untuk bacaan pertama tetapi ia belum diluluskan dan dijadualkan dibahas pada sesi Parlimen Mei ini.

"Saya mengalu-alukan pembentangan rang undang-undang itu dan berharap ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang akan memberi sokongan.

"Saya harap rang undang-undang ini dapat menyatukan semua ahli Parlimen mengenai kebajikan haiwan," jelasnya.

Katanya, masyarakat juga perlu diingatkan bahawa memiliki haiwan kesayangan adalah satu tanggungjawab yang besar dan mereka perlu menganggap haiwan kesayangan mereka sebagai sahabat seumur hidup.

"Pencinta haiwan boleh melaksanakan tanggungjawab mereka dengan menyelamatkan haiwan yang dibuang atau tidak dikehendaki dan membantu mencari rumah baru mereka bagi memastikan keterusan hidup haiwan berkenaan.

"Haiwan tidak boleh membantah dan melakukan demostrasi jika dibenarkan. Oleh yang demikian, pencinta haiwanlah yang perlu berdiri, bersuara bagi pihak haiwan demi kebajikan haiwan," ujarnya.

Tambah Lam Thye, sejak beberapa tahun lepas, ramai pencinta haiwan tertanya-tanya bila Rang Undang-Undang Kebajikan Haiwan yang ditunggu-tunggu akan dibawa ke Parlimen untuk diluluskan.

"Mereka prihatin kerana melihat kezaliman terhadap binatang semakin berleluasa dan suara dari orang-orang yang meminta perlindungan haiwan semakin kuat dan hebat.

"Haiwan selalu diabaikan, didera dan terpaksa berjuang untuk terus hidup setiap hari.

"Walaupun ditinggalkan tanpa makanan dan air, mereka masih mempunyai sedikit harapan untuk hidup tanpa belas kasihan yang mereka impikan," katanya.

Jelasnya lagi, masyarakat juga harus sentiasa sedar kezaliman kepada haiwan merupakan perbuatan yang tidak boleh diterima dalam masyarakat bertamadun.