DALAM usaha kerajaan mewujudkan sebuah masyarakat lebih sihat, khususnya dalam kalangan umat Islam dalam negara kita melalui pelbagai kempen kesedaran, pendidikan serta pemantapan pelbagai jenis peruntukan undang-undang sedia ada bagi mengekang serta membasmi ketagihan merokok, langkah yang dilihat lebih drastik perlu juga dipertimbangkan serta diambil pihak kerajaan dengan menjadikan merokok itu sebagai salah satu kesalahan syariah.

Cadangan berkenaan juga selaras dengan keadaan semasa pada masa kini dalam negara kita yang memberi tumpuan terhadap usaha untuk memantapkan dan memperkasakan undang-undang syariah dan mahkamah syariah itu sendiri serta usaha mengurangkan jumlah perokok yang ada dalam negara kita.

Bagi umat Islam, isu merokok ini perlu dipandang berat kerana sudah wujud fatwa jelas mengenai isu rokok dalam negara kita.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang Kali Ke-37 di Dewan Syura, Tingkat 11 pada 23 Mac 1995 yang lalu telah membincangkan isu mengenai “Hukum Merokok Dari Pandangan Islam” dan telah bersetuju memutuskan bahawa “Merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudaratan”.

Berdasarkan fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan terbabit jelas menunjukkan bahawa pengharaman rokok telah lama dikeluarkan oleh majlis tersebut iaitu sudah lebih 20 tahun dan ia masih kekal sehingga sekarang.

Pengharaman rokok dibuat berdasarkan tiga sebab utama iaitu merokok membahayakan kesihatan kepada pengguna, mendatangkan kemudaratan kepada orang sekeliling serta alam sekitar, dan perbuatan tersebut menjurus kepada pembaziran wang juga masa dan tenaga serta membawa kerugian kepada pengguna yang menggunanya.

Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”.

Walaupun terdapat pelbagai jenis kempen kesedaran yang dilihat telah diambil pihak jabatan agama, masjid-masjid serta surau mengenai perkara ini, namun ia juga dilihat masih tidak efektif untuk mengekang masalah ketagihan merokok dalam kalangan umat Islam itu sendiri.

Lebih membimbangkan ialah masalah merokok ini juga dilihat telah mula menular dalam kalangan generasi muda yang masih bersekolah.

Oleh itu, fatwa pengharaman perlu dijana sebagai satu peruntukan undang-undang yang lebih jelas bagi mengekang umat Islam daripada terus merokok dengan mempertimbangkan menjadikan merokok sebagai salah satu jenayah syariah.

Walaupun terdapat beberapa kesalahan syariah seperti berjudi, minum minuman yang memabukkan, pelacuran, khalwat, dan banyak lagi yang telah diperuntukkan, pada masa kini terdapat tiada seksyen khusus mengenai kesalahan merokok di bawah Akta Jenayah Syariah negeri–negeri.

Yang ada pun cuma Seksyen 15 yang memperuntukkan kesalahan bagi mereka yang “Tidak menghormati Bulan Ramadhan”.

Seksyen 15 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah–Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559] misalnya memperuntukkan bahawa "mana–mana orang yang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadan- (a) menjual kepada mana–mana orang Islam apa–apa makanan, minuman, rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap serta–merta dalam waktu itu; atau (b) secara terbuka atau di tempat awam didapati makan, minum atau menghisap rokok atau benda lain yang seumpamanya, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua–duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua–duanya."

Oleh yang demikian, adalah penting supaya satu seksyen khusus diperkenalkan bagi menjadikan tindakan menghisap rokok serta bahan–bahan yang berkaitan dengan rokok sebagai satu kesalahan syariah bagi memberi satu isyarat yang lebih jelas serta memberi satu peringatan kepada umat Islam dalam negara kita mengenai bahaya dan kesalahan merokok.

Untuk menjadikan merokok itu sebagai salah satu kesalahan syariah dalam negara kita mungkin akan mengambil masa lama kerana perkara berkaitan hal ehwal agama Islam terletak di bawah kuasa kerajaan negeri seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Maka terpulanglah kepada setiap kerajaan negeri dalam negara kita untuk mempertimbangkan cadangan terbabit dengan teliti.


Dr. Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI.