Pertimbang wujud mahkamah jenayah peringkat ASEAN

Pertimbang wujud mahkamah jenayah peringkat ASEAN
ICC telah ditubuhkan lebih 20 tahun yang lalu dan mula beroperasi pada tahun 2002.
SUSULAN penerimaan Malaysia terhadap Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), pihak kerajaan Malaysia dibawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) boleh memberi pertimbangan untuk duduk berbincang dengan serta mengusulkan kepada negara-negara rantau Asia Tenggara bagi mewujudkan satu bentuk agensi atau tribunal pengadilan yang sama dengan ICC di peringkat Asia Tenggara.

Penubuhan mahkamah jenayah peringkat Asia Tenggara ini dilihat penting bagi memastikan tiada negara serantau di Asia Tenggara yang melakukan sebarang tindakan kekejaman dan penindasan terhadap mana-mana pihak di dalam negara mereka sendiri serta terhadap negara serantau.

Pada masa yang sama juga, penubuhan sebuah mahkamah berkenaan di peringkat serantau dapat memberi isyarat yang jelas kepada semua negara-negara di Asia Tenggara untuk tidak melakukan sebarang jenayah kemanusiaan.

Wisma Putra dalam kenyataannya baru-baru ini berkata Malaysia telah menandatangani Surat Cara Penerimaan Statut Rom, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan surat berkenaan telah diserahkan kepada pihak Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada awal minggu ini.
ICC telah ditubuhkan lebih 20 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1998 dan mula beroperasi pada tahun 2002. Melalui keanggotaan negara kita ke dalam ICC ini, Malaysia kini menjadi negara yang ke 124 yang menanggotai ICC.

ICC ditubuhkan sebagai satu tribunal tetap untuk membicarakan kes jenayah berat yang melibatkan pembasmian kaum, jenayah terhadap hak asasi manusia, jenayah perang, jenayah kekerasan dan sebagainya.

Sudah sampai masanya Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara atau dalam bahasa Inggerisnya lebih dikenali sebagai Association of Southeast Asian Nations (ASEAN) yang terdiri daripada 10 buah negara ini memberi pertimbangan untuk mewujudkan sebuah mahkamah jenayah khas peringkat serantau khusus bagi menyiasat segala kegiatan atau aktiviti jenayah kemanusiaan yang berlaku di kalangan negara – negara rantau ASEAN. Pekara ini dilihat penting berikutan krisis kemanusiaan teruk dan berterusan yang menimpa etnik Rohingya di Myanmar buat sekian lama. Seperti yang diketahui, etnik Rohingya di Myanmar menjadi mangsa keganasan dan penindasan daripada kerajaan mereka sendiri serta dari kumpulan-kumpulan pelampau dan fanatik yang berada di dalam negara mereka.

Mengikut rekod beberapa pertubuhan hak asasi manusia peringkat antarabangsa, nasib malang yang menimpa etnik Rohingya sudah berlaku buat sekian lama semenjak junta tentera mengambil alih pentadbiran negara mereka pada tahun 1978. Malah, ada juga pihak yang mendakwa bahawa etnik Rohingya berkenaan telah menerima layanan buruk lebih awal lagi. Ada pihak juga yang menyatakan nasib buruk yang menimpa etnik Rohingya ini juga adalah proses penghapusan etnik. Tindakan tidak berperikemanusiaan yang berterusan dilakukan terhadap etnik Rohingya serta etnik minoriti lain tidak boleh dibenarkan berterusan berlaku di rantau ASEAN kerana ia jelas bertentangan dengan segala prinsip ASEAN yang melindungi hak asasi penduduknya yang berjumlah 650 juta.

Malah Piagam ASEAN yang telah ditandatanggani oleh Myanmar sendiri juga jelas termaktub jaminan serta penghormatan terhadap hak asasi manusia. Jika tiada langkah tegas diambil bagi mengatasi isu ini, nescaya tidak mustahil krisis kemanusiaan yang hampir sama boleh berlaku di kalangan negara-negara ASEAN yang lain. Ia juga boleh memberi implikasi buruk terhadap nama baik ASEAN di peringkat global malah akan membantutkan segala usaha ASEAN untuk membantu pihak yang menerima nasib yang sama di rantau yang lain diserata dunia.

Oleh itu, ASEAN sebagai sebuah pertubuhan serantau perlu berani mengambil langkah-langkah yang lebih proaktif dan drastik yang boleh menjamin hak asasi manusia di rantau ASEAN serta memberi peluang kepada mana-mana pihak yang ditindas di rantau ini untuk membawa aduan mereka ke muka pengadilan. Ini boleh dilakukan dengan mewujudkan sebuah mahkamah jenayah peringkat serantau.

Mahkamah jenayah berkenaan boleh memainkan peranan yang sama seperti mahkamah jenayah antarabangsa (ICC) yang berada di The Hague, Belanda dengan melakukan proses pemantauan terhadap aspek pematuhan hak asasi manusia di kalangan negara-negara ASEAN serta mengambil proses pendakwaan terhadap mana-mana individu atau organisasi yang jelas melanggar prinsip kemanusiaan yang telah ditetapkan oleh pertubuhan ASEAN.

Bagi menjayakan cadangan di atas, pelbagai langkah perlu diambil di kalangan negara ASEAN seperti dengan melakukan pindaan besar terhadap piagam, penjanjian, instrumen sedia ada atau mewujudkan piagam baru bagi menjayakannya. Ia juga menuntut kerjasama serta iltizam yang tinggi dikalangan negara-negara ASEAN bagi mematuhi segala peruntukkan atau kuasa mahkamah khas berkenaan setelah ianya ditubuhkan kelak.

Walaupun cadangan penubuhan mahkamah khas terbabit dilihat sukar serta akan mengambil tempoh masa yang panjang, cadangan penubuhan mahkamah khas berkenaan adalah penting supaya tiada pihak di kalangan negara-negara ASEAN berterusan melanggar peruntukkan undang-undang antarabangsa serta prinsip-prinsip keamanan dan kemanusiaaan yang telah dipersetujui oleh negara-negara ASEAN terutamanya dalam aspek perlindungan dan jaminan hak asasi manusia.


* Dr Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

** Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI.