Kerajaan diminta mempertingkat akses Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kepada lebih banyak negara untuk menggalakkan kemasukan pelancong ke Malaysia.

Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) Samuel Cheah Swee Hee yang berkata, ia sekali gus usaha meningkatkan industri pelancongan negara

"Antara perkara yang dibincangkan adalah menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) satu hub yang memberi lebih akses sambungan lebih banyak negara ke Malaysia.

"Selain itu turut dibincangkan isu cukai pelancongan dan gaji minimum untuk pekerja sektor perhotelan.

"Ia penting untuk menjadikan peraturan dalam isu ini lebih tersusun," katanya ketika ditemui selepas majlis taklimat bersama Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham di sini hari ini.

Cukai pelancongan

Dalam pada itu kata Samuel, pihaknya turut mencadangkan supaya Cukai Pelancongan yang dikenakan kepada pelancong asing dimansuhkan dan perkhidmatan AirBnb dikawal selia.

Jelasnya, cukai pelancongan yang mula diperkenalkan pada tahun lalu tidak menggalakkan pelancong asing untuk menetap lebih lama kerana cukai itu dicaj mengikut penginapan setiap malam.

“Kami ada berbincang mengenai cukai ini (dalam pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan (MPK). Perlu cari langkah penyelesaian bagi memastikan ia adil kepada semua pihak.

“Pada masa ini kadarnya adalah kadar rata dan ia tidak menggalakkan pelancong asing untuk menetap lebih lama.

“Langkah terbaik sudah tentu memansuhkannya kerana ia akan menggalakkan kehadiran lebih ramai pelancong.

“Namun sudah tentu perkara ini perlu dibincangkan dengan kerajaan terlebih dahulu," katanya.

Kerajaan mula melaksanakan Cukai Pelancongan berkuat kuasa 1 September lalu ke atas pelancong asing saja pada kadar RM10 untuk setiap bilik bagi satu malam.

Sementara itu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab berkata, pihaknya menghantar kertas cadangan untuk menambah baik industri pelancongan negara.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut apakah cadangan atau isi perbincangannya bersama Majlis Penasihat Kerajaan.