Program pertukaran pelajar dan guru dari Indonesia dengan dua Kolej Vokasional (KV) di Perak membuktikan sistem pendidikan vokasional negara berada pada aras setanding dengan pasaran antarabangsa.

Pengarah Kolej Vokasional Seri Manjung, Mazlin Md Zain berkata, sistem pembelajaran yang ditawarkan dalam negara ini sememangnya memenuhi kehendak industri yang mana mampu menyokong revolusi industri (IR4.0).

"Jadi beberapa sekolah di Indonesia telah menghantar guru dan pelajarnya untuk mendapatkan nilai tambah untuk diaplikasikan di negara mereka.

"Peluang sebegini digunakan sebaik mungkin mereka untuk menimba ilmu selama hampir sebulan di Malaysia terutama kursus Teknologi Elektrik dan Teknologi Elektronik," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

Mazlin berkata demikian ketika ucapan penutup program yang melibatkan empat buah sekolah dari Indonesia di Dewan Besar KV Seri Manjung.

Program itu dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu, SMK PGRI 3 Malang, SMK Nasional Malang, SMK Muhamadiyah 1 Malang menjayakannya di KV Seri Manjung.

Manakala, SM El Hayat pula menjalinkan kerjasama di KV Seri Iskandar.

Mazlin berkata, program itu juga adalah platform yang terbaik untuk pertukaran ilmu khususnya berkaitan teknologi di antara dua buah negara.

"Melalui program ini kita telah berjaya mengenalpasti program program sokongan yang mampu dilaksanakan bagi meningkatkan prestasi institusi terlibat dan seterusnya membawa kita lebih dekat dengan matlamat kita ke arah merealisasikan hasrat Kolej Vokasional Seri Manjung untuk menjadi Pusat Kecemerlangan Serantau (Regional Center of Excellence) bagi program yang ditawarkan," jelasnya.

Selain dari anggota deligasi SM Kejuruan Kota Malang dan warga Kolej Vokasional Seri Manjung, majlis itu turut dihadiri pegawai dari BPLTV Kementerian Pendidikan Malaysia, Pegawai Pendidikan Daerah Manjung, wakil dari KV Seri Iskandar serta Pengetua Sekolah Sekolah Menengah Daerah Manjung.