Faktor geografi yang pelbagai di negara ini memerlukan persempadanan itu dilakukan mengikut mekanisme dan kaedah yang lebih tersusun dan teratur, kata Timbalan Dekan Penyelidikan & Pembangunan Fakulti Sastera & Sains Sosial, Universiti Malaya Profesor Madya Dr Rosmadi Fauzi.

Selain itu, persempadanan semula harus mengambil kira perubahan demografi serta mobiliti masyarakat setempat yang dikira drastik sejak kali terakhir proses itu digazetkan, iaitu pada tahun 2003.

“Sebagai ahli geografi, saya fikir kena lihat sifat lokal di kawasan itu. Sebagai contoh, kawasan-kawasan bandar, di Selangor ada Shah Alam, di Johor ada Johor Bahru, bandar juga, di Penang ada Georgetown, di Kelantan ada Kota Bahru.

“Tetapi ciri atau attribute dalam bandar-bandar yang disebutkan tadi berbeza walaupun keseuanya berstatus bandar. Ini kan pula pemikiran mereka, inikan pula cara mereka melihat dan menilai politik. Ini yang kita harus bincangkan, kepelbagaian dalam konteks ini,” katanya sewaktu sesi Agenda AWANI, yang dihoskan Timbalan Ketua Pengarang Astro AWANI, Kamarul Bahrin Haron, malam ini.

Media sebelum ini melaporkan, Sebanyak 98 kawasan Parlimen akan mengalami perubahan, sama ada dari segi sempadan atau nama, berdasarkan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya yang dijalankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Daripada jumlah tersebut, 12 kerusi Parlimen dan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara bakal mengalami perubahan nama.

BACA: Kajian semula persempadanan: 98 kawasan Parlimen alami perubahan

BACA: Dewan Rakyat lulus usul persempadanan semula pilihan raya

Rosmadi berkata, melalui kaedah sistem maklumat geografi atau GIS, apa yang boleh dipetakan bukan sahaja dari segi sempadan kawasan, tetapi juga apa yang terkandung dalam setiap sempadan itu.

“Misalnya kita dapat petakan setiap kawasan ini, kita boleh membentuk satu cluster mapping, iaitu kaedah untuk memperincikan mana kelompok harus diberi tumpuan, mana kelompok ada mobiliti tinggi, di mana kawasan daripada segi fasilitinya agak kurang dan harus ditambah. Jadi keperluan GIS kena ada,” katanya lagi.