Tutup

Perundangan, ideologi faktor kebebasan suara tidak diamal sebaik mungkin

Perundangan, ideologi faktor kebebasan suara tidak diamal sebaik mungkin
Jelas Dr Ahmad Murad tempoh masa setahun selepas pentadbiran Pakatan Harapan (PH) tidak cukup untuk pengamal media memahami makna sebenar kebebasan bersuara. - Gambar Fail
KUALA LUMPUR: Aspek perundangan dan peraturan-peraturan idea disifatkan sebagai faktor yang menyebabkan rakyat Malaysia termasuk pengamal media gagal untuk menggunakan ruang kebebasan sebaik mungkin selepas setahun Malaysia Baharu.

Profesor di Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican berkata ideologi tertentu yang masih kuat menyebabkan golongan ini terikat untuk mengamalkan kebebasan bersuara.
Jelasnya, tempoh masa setahun selepas pentadbiran Pakatan Harapan (PH) tidak cukup untuk pengamal media memahami makna sebenar kebebasan bersuara.

“Semua ini mesti dileraikan, dileburkan dan ini mengambil masa yang lama. Jadi kebebasan juga satu proses pembelajaran apabila ruang kebebasan (disediakan) kita mesti belajar bagaimana untuk menggunakan dan memahami (erti) kebebasan itu.
“Kita mesti faham hubungan masyarakat dan kerajaan, (serta) hubungan golongan profesion kewartawanan dan kerajaan dan negara. Ini memerlukan masa dan satu peraturan semula dan pengendalian ruang-ruang yang boleh digunakan,” katanya kepada Astro AWANI, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Kartunis Zunar yang mengatakan bahawa kebebasan bersuara tidak digunakan sebaik mungkin oleh media dan golongan artis seperti kartunis selepas pasca 9 Mei.

Mengakui perkara tersebut, Dr Ahmad Murad berkata orientasi semula secara radikal perlu dilakukan dalam golongan wartawan dan rakyat di negara ini.

Ini kerana menurutnya, budaya mengkritik di Malaysia tidak diamalkan sejak 60 tahun lalu dan tiba masanya untuk memupuk budaya itu dalam kalangan rakyat di negara ini.

“Satu adalah dalam sistem pendidikan dan persekolahan, di mana budaya itu (mengkritik) adalah tidak matang. Kita tidak digalakkan untuk menyoal dan berkreatif.

“Mengambil kritikan sebagai satu yang positif, ini perlu dipupuk dalam pendidikan sekolah dan juga pendidikan tidak formal,” ujarnya.

Ditanya kebanyakkan kritikan pada hari ini lebih berpaksikan kepada politik, beliau menjelaskan, ini susulan daripada amalan politik yang terlalu taksub kepada parti-parti tertentu.

“Apabila satu-satu parti atau ideologi itu dikritik, maka akan ada reaksinya. Jadi ini perlu kita leburkan sebab kita terlalu taksub dengan kebenaran satu ideologi itu,” katanya.

Justeru itu, bagi menjamin pembangunan negara Dr Ahmad Murad berkata semua pihak perlu sedar bahawa kemajuan negara tidak terikat kepada kepercayaan atau pendirian parti politik semata-mata.