Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan peruntukan tahfiz akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk pembangunan institusi tersebut dan tidak akan melibatkan perbelanjaan lain.

Katanya, sebelum ini sebahagian besar peruntukan yang diberi khusus untuk institusi pengajian Al-Quran itu digunakan untuk membayar gaji tenaga pengajar dan kakitangannya.

“Tahun lepas apabila kerajaan memberi peruntukan RM30 juta, tidak banyak maahad tahfiz yang menaikkan taraf. Lebih 80 peratus digunakan untuk membayar gaji kepada tenaga pengajar sedangkan matlamatnya adalah untuk menambah kemudahan maahad tahfiz.

“Kali ini apabila saya diberi tanggungjawab oleh Kabinet, saya akan pastikan RM30 juta mesti digunakan 100 peratus untuk penaikan taraf dan kemudahan maahad tahfiz,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Psikologi Modal Insan 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Zahid menceritakan, betapa beliau imej yang dilihat ketika berada di Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) tempoh hari masih jelas di ingatannya, dan tidak dapat membayangkan apa yang dilalui oleh ibu bapa dan ahli keluarga kesemua 23 pelajar dan guru yang maut dalam insiden kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur pada 14 September lalu.

Baginya, peristiwa hitam itu sepatutnya tidak berlaku sekiranya infrastruktur pusat pengajian itu dibangunkan sebaiknya mengikut spesifikasi keselamatan yang ditetapkan, selain faktor permasalahan sosial yang berlaku di sekelilingnya.

“Enam daripada tujuh remaja yang terlibat didapati terlibat dalam penyalah gunaan dadah. Tentu ada permasalahan psikologi di luar sana,” jelasnya.

Justeru pentingnya aspek psikologi yang sihat dalam masyarakat tatkala negara terus mengorak langkah mengejar status maju bukan sekadar aspek fizikal tetapi mental seluruh warganya.

Berdasarkan dapatan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 oleh Kementerian Kesihatan, masalah mental yang dialami rakyat berumur 16 tahun dan keatas meningkat daripada 11.2 peratus pada 2006 kepada 26.2 peratus pada 2015, iaitu sekitar 4.2 juta orang dalam tempoh 10 tahun.

Didapati ia berpunca daripada stres kerja yang seterusnya mencetuskan konflik di tempat kerja, masalah perhubungan, kurang kemahiran keibubapaan, penceraian, keganasan rumah tangga dab bermacam-macam lagi nelia negatif yang secara langsung mempengaruhi prestasi kerja.

“Saya yakin pendekatan psikologi boleh dimanfaat dalam menangani isu kesihatan mental.

“Pendekatan psikologi yang berorientasikan pencegahan harus diperkasakan bagi mengisi jurang dalam pendekatan menangani kesihatan mental sedia ada yang terlalu memberi fokus kepada aspek pemulihan,” katanya lagi.

Persidangan yang julung kali diadakan itu menyaksikan kerjasama sektor awam dan swasta yang disertai kira-kira 7,000 kakitangan memfokus dan membincangkan pemerkasaan psikologi modal insan demi kesjahteraan rakyat.