Peruntukan khusus isytihar harta digubal tahun depan - Abu Kassim

Peruntukan khusus isytihar harta digubal tahun depan - Abu Kassim
ABU KASSIM: Inisiatif yang dilakukan kini juga sebahagian daripada proses menjadikan pentadbiran negara lebih telus. - Bernama
KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed menjangkakan satu peruntukan undang-undang yang khusus berkenaan pengisytiharan harta dan aset akan digubal selewat-lewatnya tahun hadapan.

Jelasnya, inisiatif yang dilakukan kini juga sebahagian daripada proses menjadikan pentadbiran negara lebih telus.
“Ia bukan dalam bentuk undang-undang kerana salah satu inisiatif yang akan dibuat oleh kerajaan melalui Pelan Integriti Nasional ialah menjadikannya satu undang-undang.

“Itu dalam proses yang akan mengambil masa termasuk kajian dan sebagainya di mana ia bukan sahaja melibatkan ahli Parlimen, juga akan melibatkan pihak-pihak lain,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di lobi Parlimen hari ini.

Jelasnya, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan peruntukan undang-undang khusus itu.

Bagaimanapun, ia masih perlu mendapatkan kelulusan daripada Kabinet untuk memastikan kerajaan berpuas hati bahawa undang-undang itu cukup komprehensif untuk dikuatkuasakan.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan usul mewajibkan Ahli Parlimen termasuk isteri dan anak mengisytiharkan harta masing-masing.

Tag: Abu Kassim Mohamed, SPRM, rasuah, isytihar harta, peruntukan undang-undang


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.