Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan pembatalan peruntukan sejumlah RM886,290.68 yang diluluskan menteri terdahulu bagi membiayai perkhidmatan komunikasi menteri yang dijalankan oleh syarikat perundingan Pemandu Associates Sdn Bhd.

Katanya, antara fungsi yang dilakukan oleh Pemandu Associates adalah memberikan publisiti kepada Menteri Pengangkutan dan membantu menteri tersebut dalam penulisan kolum mingguan di salah sebuah akhbar tempatan.

“Saya telah mengarahkan kementerian batalkan kontrak ini, saya tak perlu berbelanja untuk menaikkan imej saya.

“Bagaimanapun pembayaran belum dibuat, ia akan dibatalkan serta-merta,” jelas Anthony.

Anthony berkata demikian dalam sidang media penyerahan sumbangan Tabung Harapan Negara di Putrajaya.

Beliau turut mengumumkan tabung itu hari ini menerima sumbangan RM2 juta dari pemaju perumahan Sri Pajam dan RM1,500 dari kumpulan pemandu teksi.

“Kita hargai semua sumbangan kecil dan besar, sumbangan ini juga menunjukkan bahawa pelbagai lapisan masyarakat tampil ke depan bagi membantu negara,” tambahnya lagi.