Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Haniza Talha dipanggil memberi keterangan berhubung kenyataan beliau mengenai peruntukan terhadap program Permata Negara (Permata).

Haniza berkata beliau menerima notis daripada pegawai penyiasat Hasbuhullah Muda untuk hadir memberi keterangan di Balai Polis Petaling Jaya, Khamis depan.

"Saya percaya ia ada kaitan dengan kenyataan saya mengenai Permata yang disiarkan di Keadilan Daily," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

haniza

Oktober lepas, Haniza membuat kenyataan mempertikaikan Belanjawan 2015 yang memperuntukkan RM711 juta kepada Permata yang dinaungi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan dalam satu kenyataan menjelaskan tidak semua peruntukan sebanyak RM711 juta untuk program kanak-kanak itu diberikan kepada Permata.

Sebaliknya, kata Ahmad, peruntukan tersebut juga diagihkan kepada program kanak-kanak yang lain.