Kerajaan memperuntukkan RM10 juta bagi menambah 50 Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di bangunan kerajaan `bagi meringankan bebanan ibu yang bekerja.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata kerajaan juga akan terus menggalak dan memberikan insentif kepada sektor swasta ke arah memastikan peluang pekerjaan yang saksama bagi wanita.

"Kadar semasa penyertaan wanita dalam tenaga kerja hanya berada pada paras 53.5 peratus bagi tahun 2017 berbanding 77.7 peratus bagi lelaki.

"Daripada jumlah yang tidak bekerja, 60 peratus atau 2.6 juta wanita memaklumkan bahawa bebanan kerja di rumah adalah sebab utama mereka menyertai pasaran kerja," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata kerajaan komited meningkatkan penglibatan wanita di peringkat kepimpinan selaras dengan sasaran 30 peratus daripada pembuat dasar dan keputusan.

"Pada masa ini, hampir 36 peratus daripada penjawat awam kumpulan pengurusan tertinggi terdiri daripada wanita," katanya.

Menurut Lim, kerajaan juga akan menggalakkan penglibatan golongan wanita di peringkat pembuat keputusan sektor swasta memandangkan hanya 23.2 peratus wanita menjadi ahli lembaga pengarah bagi 100 syarikat utama yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Beliau berkata berdasarkan laporan yang dikeluarkan Institut Penyelidikan Khazanah, jika tahap penyertaan wanita dalam tenaga kerja ditingkatkan sebanyak 30 peratus, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan meningkat antara tujuh hingga 12 peratus.

-- BERNAMA