Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) akan memperuntukkan RM13 juta dalam tempoh lima tahun ini untuk membaiki prasarana di Taman Laut Pulau Payar, kira-kira 35km, dari sini.

Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Tan Sri Khalid Ramli pada Sabtu berkata peruntukan yang akan dibuat menerusi Blueprint Langkawi 2.0 akan melibatkan pelaksanaan projek-projek pembaikan jeti dan kemudahan asas lain di pulau itu.

"Taman Laut Pulau Payar adalah antara taman yang sering dilawati oleh pelancong untuk melihat keindahannya dan kita berharap penambahbaikan kemudahan ini akan dapat meningkatkan lagi jumlah pelancong ke pulau ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Propagasi Terumbu Karang LADA di Pulau Payar yang dihadiri lebih 80 orang kakitangan lembaga itu.

Menurutnya LADA akan mengadakan program seumpama itu lebih kerap bagi memulihara keindahan semula jadi di taman laut itu.