Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem mengumumkan geran pembangunan sebanyak RM2 juta kepada Sekolah Menengah Riam Road di sini pada Isnin.

Semasa mengumumkan peruntukan itu pada majlis makan malam anjuran pengurusan sekolah itu malam semalam, Adenan berkata bantuan daripada kerajaan negeri itu ialah sebahagian daripada RM5 juta yang diperuntukkan kepada semua sekolah persendirian Cina di negeri ini.

Beliau juga berjanji bahawa pembiayaan yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri kepada semua sekolah persendirian Cina di Sarawak akan ditambah kepada RM6 juta tahun depan.

"Pada 2015-2016, saya memperuntukkan RM4 juta dan RM5 juta masing-masing kepada semua sekolah persendirian Cina di Sarawak.

"Saya berjanji bahawa ia akan ditambah kepada RM6 juta tahun depan," katanya.