Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM9.891 bilion bagi Belanjawan Negeri 2020.

Bertemakan 'mempercepatkan pembangunan untuk kesejahteraan semua rakyat Sarawak', Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika membentangkan belanjawan itu berkata, daripada jumlah tersebut RM6.597 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan RM3.294 bilion bagi perbelanjaan operasi.

"Belanjawan 2020 turut menekankan enam strategik utama bagi merangsangkan pertumbuhan ekonomi ke arah pembangunan insklusif, mampan dan saksama bagi semua lapisan masyarakat," katanya ketika membentangkannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Isnin.

Tambah Abang Johari, seiring dengan inisiatif-inisiatif kerajaan negeri untuk mentransformasikan kawasan luar bandar dan memastikan tidak ada rakyat negeri ini ketinggalan dalam usaha murni itu, Belanjawan 2020 terus memberi fokus kepada pembangunan luar bandar.

Beliau berkata bagi tujuan itu, RM4.141 bilion atau 63 peratus daripada perbelanjaan pembangunan diperuntukkan untuk membangunkan kawasan luar bandar negeri ini.

Selain itu, Belanjawan yang diumumkan Abang Johari juga dilihat sangat realistik dengan jangkaan hasil pendapatan RM10.067 bilion pada 2020.

Katanya, pendapatan cukai, pendapatan bukan cukai, resit bukan pendapatan serta dana Kerajaan Pusat dan bayaran balik.

"Pendapatan cukai dijangka diterima ialah RM4.631 bilion atau 46 peratus daripada pendapatan keseluruhan tahun 2020. Ia merangkaumi RM3.491 bilion daripada cukai jualan negeri yang mana RM2.878 bilion daripada minyak, LNG dan produk petroleum. RM 600 juta daripada royalti air mentah, RM413 juta daripada perhutanan dan RM127 juta daripada royalti pelombongan, sewa tanah dan lain-lain.

"Selain itu, pendapatan bukan cukai dijangka melibatkan RM5.188 bilion, resit bukan pendapatan RM9 juta manakala RM239 juta daripada dana Kerajaan Pusat dan bayaran balik," katanya.