Kementerian Kesihatan (MOH) perlu mengkaji semula peruntukan sistem kesihatan di penjara, termasuk mengadakan semula perkhidmatan penjagaan kesihatan dalaman di penjara.

Mencadangkan demikian, Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya Prof Dr Adeeba Kamarulzaman berkata walaupun kementerian itu telah meminjamkan pegawai-pegawai perubatan ke semua penjara utama dalam negara, masih banyak ruang yang boleh ditambahbaik terutama dalam soal mendapatkan ubat dan kelengkapan diagnosis seperti mesin x-ray.

"Dalam soal mendapatkan ubat, kepakaran terletak pada MOH untuk membeli dadah ubatan bagi rawatan HIV, TB, ketagihan dadah, di samping latihan doktor perubatan yang diadakan bagi membiasakan mereka dengan isu-isu berkaitan kesihatan mental dan penyakit berjangkit.

"Lebih penting ialah sistem kesihatan penjara yang lebih 'dedicated' atau saluran kerjaya berkaitan perlu diwujudkan agar doktor yang bertugas di penjara tahu bahawa ada masa depan buat mereka dan mereka menaruh minat mendalam dan komitmen terhadap isu berkaitan," katanya kepada pemberita selepas selesai sesi pertama sidang meja bulat mengenai 'HIV dan Jangkitan Berkaitan di Penjara' di sini hari ini.

Mesyuarat sehari anjuran Universiti Malaya dan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) itu, bertujuan meninjau pelbagai kemungkinan bagi menambah baik akses perkhidmatan kesihatan bagi mereka yang menggunakan dadah ubatan pada tiga tempoh ketara iaiatu pra-pengurungan, pengurungan dan sejurus selepas pengurungan.

Dr Adeeba seterusnya berkata meremehkan peruntukan sistem kesihatan penjara akan membawa kepada gangguan rawatan untuk banduan, yang akan menjejas kesihatan mereka bila keluar dari penjara.

Beliau juga berkata ketika terdapat kekurangan kepakaran dalam kalangan pegawai perubatan dalam sistem kesihatan penjara, beliau bersetuju bahawa secara idealnya, kesihatan penjara wajar menjadi satu lagi saluran kerjaya untuk pegawai perubatan.

Dekan itu juga menegaskan apa yang lebih penting ialah mengurangkan jumlah orang di penjara kerana sebahagian besar daripada mereka sebenarnya tidak perlu berada di situ.

Menurut beliau, antara 40-60 peratus banduan di Malaysia berada di penjara kerana memiliki dadah untuk kegunaan sendiri dan bukan kerana jenayah ganas atau mengedar dadah, dan menegaskan memasukkan mereka ke penjara bukan jawapannya.

"Kita membebankan sistem penjagaan kesihatan dan sistem penjara. Selain tidak kos-efektif, meletakkan begitu ramai orang dalam penjara lebih banyak mendatangkan keburukan," kata beliau.

-- BERNAMA