Peningkatan serangan pengganas, terutamanya yang dilancarkan kumpulan militan Daish, menarik perhatian beberapa anggota perwakilan Perhimpunan Agung Kesembilan Persidangan Antarabangsa Parti Politik Asia (ICAPP).

Anggota Dewan Kebangsaan Korea Selatan Dr Lee Hye-hoon meminta ICAPP melaksanakan usaha bersepadu bagi menangani isu ekonomi dan sosial yang mungkin menjadi antara faktor penyebab ekstremisme dan serangan pengganas.

"Kita perlu menterjemahkan pelbagai usaha menentang keganasan dalam bentuk tindakan, termasuk resolusi berkenaan yang diputuskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu," katanya pada sidang pleno perhimpunan itu di sini, pada Jumaat.

Menurutnya masyarakat antarabangsa juga perlu berkongsi beban dan tanggungjawab negara yang terjejas akibat krisis orang pelarian.

"Kita tidak boleh mengetepikan isu ini kerana ia memberi cabaran serius terhadap keseluruhan kemanusiaan," katanya pada persidangan itu, yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketika menyuarakan perkara sama, Anggota Parlimen Azerbaijan Sevinj Fataliyeva berkata penularan keganasan dan radikalisasi merupakan ancaman dan membahayakan manusia.

"Saya yakin ICAPP akan berjaya memerangi semua kemungkinan dahsyat itu dengan mengukuhkan hubungan sesama negara anggota, menentukan matlamat baharu yang sejajar dengan keadaan moden serta mencadangkan inisiatif baharu dan melaksanakannya dengan wajar," kata beliau.

Pembantu Menteri di Jabatan Jawatankuasa Pusat Antarabangsa Parti Komunis China (IDCPC) Li Jun berkata negara Asia perlu bersama memikul tanggungjawab demi memelihara keamanan dan kestabilan di rantau mereka.

"Kita perlu menjunjung konsep baharu mengenai keselamatan bersama, yang bersifat komprehensif dan lestari, menyumbang kepada keamanan serantau, merintis jalan baharu bagi keselamatan Asia yang dikongsi bersama serta bersifat memanfaatkan semua pihak bagi menjadikan Asia sebuah wilayah yang menikmati keamanan berkekalan," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Pergerakan Wanita UMNO Datuk Noraini Ahmad pula berkata parti politik di negara-negara Asia perlu mempermudah dan mendorong lebih banyak wanita untuk menyertai bidang itu.

Ini boleh dilakukan dengan memberi sokongan kepada ahli politik wanita dalam bidang tertentu, katanya ketika berucap pada perhimpunan sayap wanita ICAPP.

Selain itu, beliau menggesa supaya diruntuhkan halangan struktural, kebudayan dan kewangan yang sering menyekat wanita daripada maju dalam arena politik.

Sebanyak 72 parti politik dari 36 negara di Asia menyertai persidangan selama tiga hari itu yang bermula Khamis.