Seorang pesakit mental ditembak mati, sehari selepas melibas dan menikam ketua polis balai berpangkat sarjan mejar di sebuah rumah di Felda Pasir Raja, Kota Tinggi, dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman berkata selepas gagal memujuk pesakit mental itu yang mengamuk dan bertindak agresif sehingga menyebabkan Sarjan Mejar Yusuf Ahmad, 57, cedera parah semalam, polis kembali ke rumah tersebut awal pagi ini untuk menahannya.

Katanya, usaha memujuk suspek berusia 43 tahun yang masih bertindak agresif agar menyerah diri telah dilakukan namun gagal dan memaksa polis masuk ke dalam rumah melalui pintu belakang dengan membawa bersama 'taser gun' serta alat pelindung.

"Ketika tiba di ruang makan, suspek meluru ke arah pasukan polis dengan membawa sabit dan memaksa polis menggunakan 'taser gun' namun tidak mendatangkan kesan.

"Selepas itu, dia sekali lagi meluru ke arah polis dan tiga tembakan dilepaskan menyebabkan suspek rebah di atas lantai," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya suspek disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kulai akibat kecederaan di dada.

Rahmat berkata dalam kejadian pukul 7 malam semalam itu, Yusuf bersama lima anggotanya serta dua kakitangan Klinik Kesihatan Bukit Besar berada di rumah keluarga suspek untuk memujuk dan menenangkannya.

"Suspek mengamuk dan bertindak agresif kerana dipercayai tidak memakan ubat penenang mengikut masa yang ditetapkan hingga memaksa anggota keluarganya membuat aduan kepada polis," katanya.

Rahmat berkata serangan itu menyebabkan Yusuf cedera parah di lengan, tangan dan rusuk belakang kiri menyebabkan beliau terpaksa dikejarkan ke Hospital Kulai sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk rawatan lanjut.

-- BERNAMA