Seorang pesara guru wanita mengalami kerugian RM100,000 setelah diperdaya sindiket Macau Scam melalui panggilan telefon.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Superintendan Elias Omar berkata mangsa yang berusia 81 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang mengaku anggota polis bertugas di Seremban pada 16 Ogos lalu.

Katanya, suspek memaklumkan mangsa mempunyai barang terlarang di Pejabat Pos Seremban dan menawar diri untuk membantu mangsa daripada ditahan pihak berkuasa.

"Disebabkan takut, mangsa telah memberikan maklumat akaun bank, nombor kad dan juga nombor pin bagi tujuan membolehkan barangan di pejabat pos diserah kepadanya," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Menurut Elias, pada 17 Ogos, mangsa dengan bantuan anak angkat telah ke Bank Islam cawangan Alor Setar dan mendapati wang dalam salah satu akaun miliknya telah berkurangan sebanyak RM100,000.

"Hasil pemeriksaan bersama pihak bank, mangsa mendapati terdapat dua transaksi pengeluaran melibatkan jumlah RM50,000 sebanyak dua kali pada 16 dan 17 Ogos," katanya.

Dalam kejadian berasingan, seorang suri rumah berusia 51 tahun turut menjadi mangsa Macau Scam dan mengalami kerugian berjumlah RM9,962.

Menurut Elias, mangsa menerima panggilan telefon pada 16 Ogos daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kelantan.

"Pemanggil mengatakan mangsa mempunyai tunggakan cukai syarikat yang didaftarkan di atas namanya.

"Mangsa menafikan namun pemanggil telah meminta mangsa membuat laporan atas talian dengan meminta maklumat akaun bank.

Keesokkan hari, mangsa telah ke bank untuk menyemak akaun miliknya dan mendapati wangnya telah dikeluarkan tanpa pengetahuannya.

Kedua-dua mangsa telah tampil membuat laporan polis pada 17 Ogos di Balai Polis Alor Setar.

Elias Berkata, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Kesalahan Tipu).

Orang ramai dalam pada itu diminta agar tidak mudah terpedaya dengan panggilan daripada individu yang mengaku mereka daripada agensi kerajaan seperti polis dan kastam.

"Sindikat jenayah selalu menggunakan modus operandi sedemikian bagi tujuan penyamaran dan menipu mangsa," katanya.