Seorang pesara terpaksa menanggung kerugian apabila wang simpanannya berjumlah RM740,000 lesap diperdaya anggota sindiket Macau Scam.

Kejadian bermula Mac lalu apabila mangsa yang berusia dalam lingkungan 60-an itu diperdaya selepas dihubungi lelaki yang menyamar seorang pegawai polis dari Sabah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek mendakwa mangsa terlibat dalam pengubahan wang haram sebanyak RM180,000.

Beliau berkata, pada 23 Mac lalu, mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek yang memaklukan penglibatan mangsa dalam jenayah itu.

"Mangsa menafikan perkara itu, namun suspek meminta agar memindahkan ke semua wang terbabit bagi membolehkan siasatan lanjut.

"Malah, suspek juga mengugut agar mangsa tidak menceritakan kepada sesiapa kerana tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata, mangsa mengeluarkan semua wang simpanan sebanyak RM716,908 dan memasukkan wang itu ke dalam akaun yang diberikan suspek kerana takut.

"Tanpa berfikir panjang, mangsa telah membuat pemindahan wang ke dalam akaun berkenaan sebanyak RM710,000 dan RM20,000 ke dalam akaun sebuah syarikat yang diberikan suspek pada 23 dan 29 April lalu.

"Pada 30 April dan 4 Mei lalu, mangsa telah membeli kad tambah nilai Digi berjumlah RM10,000 dan memberikan kepada suspek melalui telefon selepas diminta berbuat demikian," katanya.

Mohd Wazir berkata, selepas mengikuti semua arahan daripada suspek, mangsa merasa telah ditipu dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan Keseksaan kerana menipu.