Kira-kira 7,733 pesawah di kawasan seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) seluas 26,833 hektar bakal berdepan kerugian melebihi RM36 juta jika masalah kekurangan bekalan air ketika musim kemarau ini gagal diselesaikan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehuddin Hassan berkata, pihaknya menyedari risiko itu dan akan bekerjasama dengan KADA bagi menangani masalah itu atau sekurang-kurangnya meminimumkan kerugian pesawah.

Antara langkah awal yang diambil, katanya, ialah dengan menyediakan 100 telaga tiub sebagai tambahan kepada 200 unit sedia ada, bagi membolehkan bendang yang jauh dari kawasan pengairan utama tidak terjejas.

"Kami di kementerian juga akan berbincang dengan Jabatan Meteorologi supaya dapat diusahakan buat pembenihan awan. Itu salah satu tindakan yang kita akan ambil," tambahnya.

BACA: Pembenihan awan di kawasan KADA jika kemarau berpanjangan

Menurutnya, melalui satu jawatankuasa khas yang ditubuhkan, pihaknya akan melaksanakan langkah awal bagi mengurangkan risiko kerugian pesawah akibat kemarau sebagaimana yang pernah dialami mereka sekitar tahun 2015.

Mohd Sallehuddin berkata, setakat ini, masalah kekurangan air sekitar Cherang Rotan yang seluas 1,500 hektar telah diatasi apabila stesen pam di situ berjaya mengalirkan air dari Sungai Belida ke semua sawah padi.