Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah terlibat dalam satu kejadian petang tadi apabila pesawat yang dinaikinya tergelincir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).

Bagaimanapun, beliau dipercayai selamat tanpa sebarang kecederaan, menurut sumber Malaysia Airport Berhad hari ini.

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 6 petang ketika pesawat Beech Craft 20 King Air milik Hornbill Skyways itu dalam perjalanan dari Mukah ke Kuching.

Menurut sumber, kejadian berlaku di antara laluan A1 dan A2, menyebabkan semua penerbangan lain terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Sibu.

"Pegawai menara menerima panggilan kecemasan daripada penerbangan yang menggunakan nombor pendaftaran 9MWSK itu sekitar jam 6.06 petang sebelum menekan butang kecemasan," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Menara Kawalan LTAK sekitar jam 6.09 petang.

"Dua jentera FRT dan sebuah ambulans EMRS dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya serta Batu Lintang dengan kekuatan 19 anggota.

"Pesawat tersebut telah tergelincir dari landasan semasa cubaan untuk mendarat, kira-kira 500 meter dari menara kawalan Bomba Lapangan Terbang.

"Apabila pasukan tiba, keadaan telah terkawal dan semua penumpang pesawat telah berjaya keluar dengan selamat," katanya.

Sementara itu, Fatimah dalam satu kumpulan Whatsapp memberitahu, "tiada kecederaan berlaku dan semua penumpang selamat."

Turut berada di dalam penerbangan itu ialah Setiausaha Sulitnya Teophylis Henry Awi, Pegawai Tadbir Khas Dayang Kina Kavina, seorang petugas pejabatnya, Saliah, dan dua juruterbang serta petugas teknikal Hornbill Skyways.

Fatimah bagaimanapun tidak dapat dihubungi dan pegawai tadbir khasnya enggan mengulas.

Punca kejadian masih disiasat.

LTAK yang pada awalnya ditutup untuk semua penerbangan keluar masuk, kembali dibuka sekitar jam 8.15 malam.