Pesawat ringan jenis Cessna yang dilaporkan hilang di sekitar kawasan Ampangan Batu dekat Batu Caves pada petang semalam telah dijumpai kira-kira pukul 5 pagi ini.

Tiga individu yang berada dalam pesawat itu turut dilaporkan selamat dan usaha mengeluarkan pesawat berkenaan sedang giat dijalankan.

Menurut laporan Bernama, dua orang cedera parah manakala seorang lagi cedera ringan dan kesemua mereka dihantar ke Hospital Selayang pada pukul 7.45 pagi untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah yang mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama berkata, ketiga-tiga mangsa ditemui dengan bantuan masyarakat Orang Asli di kawasan itu.

Cessna Crash Selayang
FOTO: Jabatan Bomba dan Penyelamat

Operasi mencari dan menyelamat yang dihentikan jam 9 malam tadi sepatutnya disambung semula 7 pagi ini di mana operasi tertumpu di sekitar Rawang dan Gombak membabitkan gerakan di darat dan udara.

Pesawat berkenaan dilaporkan hilang kira-kira pukul 6 petang semalam selepas terputus hubungan dengan menara kawalan.

Operasi mencari dan menyelamat kemudian digerakkan oleh pasukan bomba dan polis kira-kira tiga jam selepas pesawat berkenaan tidak kembali ke pangkalan, lapor New Straits Times.

Pesawat milik Kelab Penerbangan Diraja Selangor itu dilaporkan berlepas dari pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang kira-kira pukul 5.20 petang.