Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak bercadang untuk mempertimbangkan mana-mana pesawat lain bagi menggantikan pesawat Hawk.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan, pesawat Hawk masih mampu menjalankan tugas-tugas yang dilaksanakan TUDM.

"Rata-rata semua mengatakan pesawat Hawk ini masih lagi merupakan pesawat yang memang mampu menjalankan tugas mereka di peringkat TUDM.

"Mereka tidak ingin memikirkan pesawat-pesawat lain dipertimbangkan," kata Hishammuddin sambil menjelaskan beliau sudah mengingatkan TUDM supaya menjalankan siasatan secara telus dan terperinci berhubung kes pesawat pejuang Hawk 108 yang terhempas minggu lalu.

Bagaimanapun katanya, insiden pada 15 Jun itu, yang mengorbankan dua juruterbangnya, masih lagi dalam siasatan.

"Cuma, insiden itu kita kena siasat dulu betul-betul. Dan itu memerlukan kita bawa keluar bangkai yang terbenam untuk kita buat siasatan.

"Memang menyedihkan perkara ini," katanya kepada media selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan Setiausaha UMNO Bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Tambahnya, siasatan akan turut melibatkan pakar bebas atau pihak-pihak berkaitan.

"Mesti libat pakar bebas. Saya pantau sendiri sebagai Menteri Pertahanan dan tidak meletakkan di atas tanggungjawab satu kumpulan sahaja, dengan kebimbangan mereka tidak peka kepada perkara yang disiasat itu. Jadi, kita guna banyak saluran," katanya lagi.

Dalam kejadian Khamis lalu, nahas melibatkan pesawat TUDM Hawk 108 telah mengorbankan dua juruterbangnya, Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39, dan Mejar Mohd Hasri Zahari, 31.

Kedua-dua mereka ditemui pada 2.30 petang di kawasan berpaya di Chukai, Kemaman, kira-kira 53 kilometer dari Pangkalan TUDM.