Sebuah pesawat ringan yang sedang menjalankan operasi meracun ulat bungkus di Felda Keratong 2 dekat sini ditemui terhempas berhampiran Ladang Kampung Melati, Muadzam Shah di sini.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Azli Mohd Noor berkata bagaimanapun, juruterbang pesawat berkenaan, Barry Allen Foster, 66 tahun, daripada Australia tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

"Ketika kejadian pesawat milik syarikat Woorayi Air Services itu sedang menjalankan kerja-kerja meracun di ladang Felda Keratong 2.

"Bagaimanapun pesawat berkenaan hilang kawalan menyebabkannya terhempas tetapi juruterbang tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Foster dilaporkan tidak mengalami kecederaan yang serius. - Foto ihsan JBPM
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.18 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam serta polis dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 48km daripada balai.

"Mereka menemui pesawat itu di ladang kelapa sawit Tabung Haji di Kota Bahagia berhampiran Kampung Lubuk Batu.

"Pihak bomba juga membuat pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian bagi memastikan tiada sebarang punca api yang boleh menyebabkan kebakaran di ladang sawit berkenaan," katanya.