Peserta Felo Perdana terpilih kali ini bertuah kerana akan terlibat dengan pasukan Kerajaan dalam usaha memerangi COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, mereka juga bakal menjadi jurucakap tidak rasmi dan pengantara antara Kerajaan dan golongan belia di luar sana, terutamanya dalam menyampaikan fakta dan polisi Kerajaan.

“Saya menyeru agar saudara-saudari dapat menjadi pengantara antara Kerajaan dan golongan belia di luar sana, terutamanya dalam menyampaikan fakta dan polisi Kerajaan terutamanya dalam memerangi wabak Covid-19 serta memulihkan ekonomi negara pasca pandemik.

“Saudara-saudari bertuah kerana akan berada dalam pasukan Kerajaan dalam usaha memerangi wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara, satu cabaran yang amat sukar tetapi mampu di atasi jika seluruh jentera Kerajaan berganding bahu,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian Ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Felo Perdana 2020, di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Bagi edisi ke lapan program anjuran Kementerian Belia dan Sukan itu, seramai 82 orang peserta daripada 600 permohonan telah terpilih, dan ia akan berlangsung bermula 8 Julai hingga Disember 2020.

Berucap lanjut, Perdana Menteri berkata, selain menjadi ‘executive intern’, peserta Felo Perdana kali ini akan dipertanggungjawabkan untuk menyelia dan membentangkan cadangan kertas polisi berkaitan kementerian masing-masing.

“Kertas polisi ini boleh digunakan sebagai salah satu input dalam merangka inisiatif-inisiatif baharu di peringkat Kementerian. Salah satu contoh kertas polisi yang lahir daripada gagasan idea peserta Felo Perdana Tahun 2019 adalah Program Biodiesel.

“Program Biodiesel dalam sektor pengangkutan membantu memacu ekonomi yang secara tidak langsung meningkatkan permintaan minyak sawit domestik dan mengurangkan import diesel.

“Susulan daripada cetusan idea ini, Kerajaan telah melancarkan Program Biodiesel B20 pada bulan Februari 2020 yang lalu dan akan diteruskan di bawah pentadbiran baru ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, beliau telah dimaklumkan bahawa selari dengan situasi pasca pandemik COVID-19, penyertaan Felo Perdana edisi ini terdiri daripada 70% graduan, dan 30% lagi siswa.

“Felo pada tahun 2020 ini akan melibatkan seramai 82 orang belia di mana 58 orang adalah graduan dan 24 adalah siswa. Saya juga amat berbangga apabila mengetahui bahawa 42% daripada kalangan Felo datang daripada latar belakang keluarga B40.

“Justeru, saya ingin mengucapkan jutaan tahniah kepada semua peserta Felo. Saudara dan saudari semua adalah anak muda yang terpilih daripada 637 orang yang telah memohon untuk menyertai program ini serta 298 orang yang memohon Felo Korporat,” katanya lagi.

Muhyiddin berkata, beliau yakin dan percaya, peserta terpilih akan menggunakan peluang ini untuk menunjukkan potensi dan membuktikan kemampuan diri bagi menyahut peluang menjadi sebahagian daripada peserta program ini.