Seorang peserta pertandingan Reggata Piala Raja warga Filipina mengalami kecederaan di bahagian tulang belakang dan leher selepas kapal layarnya berlanggar dengan kapal layar peserta lain semasa kejohanan itu berlangsung di Pulau Pinang.

Kejadian berlaku kira kira jam 2 petang Rabu ketika pertandingan itu sedang berlangsung di kawasan empat batu nautika dari Straits Quay Marina, Tanjong Tokong.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, memaklumkan bahawa pihak bomba telah menerima panggilan kecemasan kira kira jam 2.05 petang.

Pasukan bomba dengan bantuan Polis Marin yang tiba di lokasi kejadian telah mengesahkan insiden pelanggaran antara dua kapal layar itu dengan seorang peserta yang mengalami kecederaan serius.

Mangsa berusia 30 an itu ditemui dalam keadaan lemah di atas kapal layarnya dan segera diberi rawatan awal oleh anggota pasukan penyelamat.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan stabil.