Berselindung di sebalik kononnya sambutan ‘pesta Halloween’, beberapa pusat hiburan sekitar ibu negara diserbu pihak berkuasa yang mendapati ia hanya satu penyamaran untuk mengaburi pihak luar.

Tidak cukup dengan itu wanita warga asing yang bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan (GRO) juga berhias seumpama mayat hidup mahupun hantu bagi menyambut dan memberikan 'perkhidmatan' kepada tetamu.

Operasi yang bermula jam 1 pagi tadi, dijalankan secara bersepadu oleh beberapa agensi kerajaan termasuk anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Imigresen, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Jabatan Kastam dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Foto Astro AWANI

Operasi diketuai Pengarah Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Azman Mahmood.

“Kita dapat aduan mengatakan ada “pesta Halloween” untuk budaya barat tetapi yang teribat adalah warga kita dan sampingan warga asing itu adalah sebagai pelengkap pada pusat hiburan yang ada sekitar Kuala Lumpur,” katanya.

Menurutnya lagi, sasaran operasi di pusat-pusat hiburan di sekitar Kuala Lumpur dan ketika serbuan, kesemua pengunjung dan GRO terbabit sedang leka berhibur.

Sebaik menyedari premis diserbu, mereka bertempiaran lari.

Foto Astro AWANI

Hasil pemeriksaan, pihaknya turut menemui dadah dipercayai ketamin di salah sebuah bilik karaoke di premis terbabit.

Lebih 100 individu diperiksa dengan Jabatan Imigresen berjaya menahan seramai 36 wanita warga Thailand di percayai bertugas sebagai GRO serta 9 lelaki warga Bangladesh.