Perayaan Pesta Kaamatan yang disambut oleh masyarakat Kadazandusun Murut (KDM) mampu dimartabatkan sebagai satu tarikan utama industri pelancongan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, keunikan sambutan itu mampu menarik minat pelancong luar dan dalam untuk menjadikan Sabah sebagai destinasi hab pelancongan.

"Pada hari ini kita dapat melihat perayaan ini bukan hanya di lingkungan perayaan kebudayaan semata-mata tetapi kita melihat ianya banyak melahirkan produk pelancongan.

"Ramai yang datang dari luar negara sempena perayaan bulan Mei dan masyarakat antarabangsa juga kita tahu mereka datang ke negeri Sabah semata-mata untuk melihat pesta menuai," katanya.

MOHD Shafie ketika menghadiri Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Pusat Kebudayaan KDCA, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam majlis Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Pusat Kebudayaan KDCA.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Datuk Peter Anthony; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau serta Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar christina liew dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din.

Dalam pada itu, Mohd Shafie turut menggesa agar semua pihak mengetepikan ideologi politik untuk membangunkan negeri ini setanding dengan negara luar.

Jelasnya, kerjasama padu antara semua pihak harus diwujudkan bagi merancakkan lagi kepesatan ekonomi dan pembangunan untuk generasi masa hadapan.

"Agenda utama kerajaan baharu ini adalah untuk menggalakkan anak Sabah bekerja dan menabur bakti di negeri ini dengan membuka peluang serta ruang kepada mereka.

"Tetapi, yang penting bagi kita ialah membangunkan negeri Sabah sekali gus bangsa Sabah itu sendiri demi masa depan,"katanya.