Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan Mustaffa Daharun, 60 tahun, meninggal dunia akibat masalah paru-paru di Hospital Jempol, hari ini.

Anak kedua Allahyarham, Najmuddin Rabbani berkata bapanya dibawa ke hospital selepas Subuh pagi tadi setelah mengadu sesak nafas.

"Semasa dirawat, doktor memaklumkan paru-parunya berair dan doktor memberikan bantuan pernafasan sebelum disahkan meninggal pukul 8.12 pagi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Lalang, Jempol selepas solat Zohor.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Ustaz Khairil Anuar Mohd Wafa berkata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dijangka menghadiri pengebumian Allahyarham.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan sembilan orang anak.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Mustaffa bertanding di Parlimen Jempol dan Dewan Undangan Negeri Ampangan namun tewas di kedua-dua kerusi berkenaan.

--BERNAMA