Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli, yang sedang dirawat di Unit Rawatan Koronori (CCU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, semakin sedar dan mula memberi reaksi kepada ahli keluarga yang melawatnya hari ini.

Ketua Penerangan Pas Perlis, Dr Saifizi Saidon berkata pihak hospital juga memaklumkan bahawa keadaan kesihatan Mohd Shukri, yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis, semakin stabil walaupun tekanan darah beliau masih rendah.

"Beliau mula memberi reaksi terhadap ahli keluarganya dengan menggunakan pergerakan badan serta turut meminta untuk menunaikan solat," katanya dalam kenyataan menerusi aplikasi WhatsApp di sini, hari ini.

Menurut Dr Saifizi, imbasan pada jantung Mohd Shukri pula menunjukkan penambahbaikan fungsi organ itu dan pemberian ubat bagi membantu jantung mengepam darah sudah dihentikan.

"Pas Perlis akan terus mengemaskini keadaan kesihatan Mohd Shukri dan menyeru agar semua pihak dapat terus mengadakan solat hajat serta mendoakan kesihatan beliau," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam, 29 Sept lepas, Mohd Shukri rebah selepas dipercayai terkena serangan jantung ketika berucap pada Ceramah Perdana Muafakat Nasional peringkat Perlis di Dewan 2020 di Kangar, Perlis.

Beliau kemudiannya dimasukkan ke CCU Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar sebelum dipindahkan ke HSB untuk rawatan lanjut pada 1 Okt lepas.

-- BERNAMA