Golongan petani perlu mempelbagaikan sumber ekonomi yang dapat menjana pendapatan dan bukan sekadar bertumpu pada satu pekerjaan tradisi sahaja, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata bagi memaksimumkan pendapatan, petani boleh mempelbagaikan sumber pendapatan secara serentak seperti memulakan ternakan ayam kampung, lembu dan kambing selain mengusahakan tanaman cili secara fertigasi yang merupakan pertanian moden.

"Petani perlu berubah, tidak boleh hanya mengharapkan hasil padi empat hingga lima tan metrik bagi satu hektar sahaja sebagai sumber pendapatan... mesti menjadi usahawan tani berjaya untuk meningkatkan pendapatan.

"Kita nak lihat perubahan sikap petani seiring dengan pelaksanaan Gelombang Tani Nasional (GTN) 2017. Jangan puas hati dengan purata pendapatan RM2,000 hingga RM3,000 sebulan, kita mahu ia ditingkatkan kepada RM10,000," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan Sungai Besar kali ke-36 di sini, pada Jumaat.

Menurut Tajuddin, petani juga tidak seharusnya secara berterusan mengharapkan bantuan kerajaan bagi membiayai pendidikan anak cucu mereka, sebaliknya golongan itu perlu bangkit dan berusaha memajukan diri serta meningkatkan pendapatan masing masing.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu,Tajuddin yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO tidak perlu bimbang dengan penyusunan pemimpin dalam Pakatan Harapan yang dilihat hanya mampu memasang angan-angan sahaja untuk mentadbir negara.

Katanya, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilantik pengerusi Pakatan Harapan boleh membuat sebarang penyusunan, namun umum mengetahui bahawa pada akhirnya, parti DAP yang akan tetap mendominasi pakatan itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir sebelum ini bahawa beliau adalah "top dog" dalam Pakatan Harapan iaitu kedudukan yang sama seperti perdana menteri.

- BERNAMA