Pesawah di kawasan Bintong dan Sempering dekat sini menarik nafas lega dan bersyukur selepas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang melawat kawasan tersebut pada Khamis memberi jaminan akan memandang serius masalah sawah kering yang berlaku dan bersedia memberikan bantuan.

Seorang pesawah Othman Dad, 60, berkata beliau kagum atas keprihatian Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, yang sanggup turun padang bagi meninjau sendiri masalah yang dihadapi rakyat.

"Semasa sesi dialog bersama Menteri (Salahuddin), beliau berjanji untuk membantu para petani dan mencari jalan, bagi mengatasi masalah ini dengan menyelaras kerja-kerja pengairan, kerana jika perkara ini berlanjutan ia akan mendatangkan kerugian besar kepada kami.

"Kalau kerajaan tak bantu, siapa nak bantu kami (pesawah), saya usahakan tujuh hektar padi dan telah mengeluarkan modal RM40,000, dan itu tidak termasuk hutang yang perlu dibayar, seperti kos sewa dan baja," katanya kepada Bernama di sini pada Khamis.

Othman berkata petani atau pesawah di sini amat bergantung kepada tanaman padi sebagai punca pendapatan utama menyara keluarga.

Turut berkongsi pendapat yang sama, Hamuri Dan, 45, berkata beliau bersyukur dengan tindakan MoA menerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bersedia menghulurkan bantuan awal berupa minyak petrol untuk mengepam air ke petak sawah.

Katanya MoA juga bersedia untuk membina parit jejari dan menyediakan pam, bagi memudahkan pengaliran air masuk ke dalam kawasan sawah padi.

Terdahulu Salahuddin bersama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang meninjau dua kawasan padi, yang dilaporkan kering kontang akibat musim kemarau di kawasan Bintong dan Sempering.

Sebelum ini, dilaporkan lebih 300 pesawah mengalami kerugian teruk akibat air tidak masuk ke dalam sawah yang menjejaskan lebih 400 hektar di sini (Perlis).

-- BERNAMA