Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Peter Anthony mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan bersubahat kes pecah amanah bernilai RM15.5 juta di Mahkamah Khas Rasuah, pada Khamis.

Pertuduhan itu adalah membabitkan pembelian tanah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di antara tahun 2014 dan 2015.

Peter mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat di kamar mahkamah pada pagi ini.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan dan Infrastruktur Sabah itu menghadapi pertuduhan mengikut seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 409 kanun yang sama.

Terdahulu, Peter pada 11 Jun lalu mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM8.75 juta yang turut berkaitan dengan pembelian tanah RISDA.

Sementara itu, mengikut prosiding mahkamah hari ini, tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di antara 22 Julai 2014 dan 19 November 2015 di Bervely Hills Plaza, Jalan Bundusan, Penampang.

Dalam pertuduhan itu, Peter didakwa telah bersubahat dengan seorang peguam, Michael Percius Ubu yang memain peranan sebagai ejen kepada RISDA dan melalui kapasiti berkenaan, diamanahkan dengan kuasa ke atas pembayaran wang berjumlah RM15,545,400 melalui cek Bank Muamalat ke akaun bank milik Tetuan Michael Ubu & Co.

Dalam prosiding terbabit juga, peguam Peter telah memohon supaya pihak mahkamah menggunakan semula jaminan yang dikenakan terhadap tertuduh dalam kes sebelumnya memandangkan ianya mempunyai kaitan.

Hakim kemudiannya membenarkan permohonan mengguna pakai semula jaminan tersebut dan Peter diarahkan supaya menandatangani surat jaminan baharu bagi sebutan semula kes pada 4 Ogos hadapan.

Peter diwakili oleh empat peguamnya, Dominic Chew, Datuk Douglas Lind, Martin Tommy dan Luke Ressa Balang.

Pendakwaan itu dibuat empat Timbalan Pendakwa Raya SPRM iaitu Mohamad Fadhly Mohamad Zambry, Nartiah F. Mirchelle Sambatan, Amin Fakri dan Mohd Faliq Basarudin.