PENGANALISIS Politik Sarawak, Prof Madya Dr. Jeniri Amir, dalam tulisannya pernah menyatakan bahawa Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem sangat pintar berkata-kata.

"Beliau terkenal dengan ucapan yang santai, bersahaja, dan diselitkan dengan jenaka serta tidak berbelit-belit. Bahasa yang digunakan Adenan mudah, dengan ayat yang singkat-singkat. Ketika bercakap dalam bahasa Inggeris, kekuatan ekspresinya menyengat, dan idiomnya menyerlah," kata Dr. Jeniri.

Setiap kali Adenan menyampaikan ucapan, hadirin mudah memberikan perhatian kerana beliau memilih bahasa yang mudah untuk difahami, selain menyelitkan unsur-unsur jenaka supaya keseluruhan ucapannya tidak membosankan.

Begitupun, setiap kali berucap, ada mesej penting yang hendak beliau isyaratkan kepada umum dan pihak yang bertanggungjawab. Semuanya adalah demi kebaikan bersama, khususnya buat rakyat Sarawak.

Berikut ini adalah antara petikan ucapan Adenan yang menarik. AL-FATIHAH...


"Selepas Kuching, kita berharap kemudahan UTC dapat dibawakan ke bandar utama lain, begitu juga kawasan luar bandar dalam usaha memudahkan kehidupan rakyat. Kita yakin perkara ini dapat dipertimbangkan sewajarnya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sejajar dengan komitmen beliau ke arah meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya penduduk luar bandar."


"Daripada membazir wang membuat iklan hari jadi saya, lebih baik mereka gunakan wang itu dengan membuat kerja kebajikan dan menolong mereka yang susah."

"Saya ingin mengucapkan terima kasih (kepada) perniagaan masyarakat Cina yang memainkan peranan mereka dalam pembangunan Sarawak."

"Marilah kita terus mendukung semangat kesederhanaan dalam perhubungan kita dengan orang lain."

"Jika berbanding Sarawak dengan Johor dan Pahang misalnya, di sana semuanya mencukupi, ada jalan raya, elektrik, airnya cukup. Jika di Sarawak, masih ada sekolah yang muridnya berjalan dengan berkaki ayam."

“Mun dalam masa duak taun saya dapat molah 53 keputusan yang menguntungkan rakyat Sarawak, apa gik mun saya diberik lima tahun lagik”

(Kalau dalam masa dua tahun saya dapat buat 53 keputusan yang menguntungkan rakyat Sarawak, apatah lagi kalau saya diberi lima tahun lagi)

“We’ve tried our best to bring development to the rural areas but it’s not enough… We will do more”

(Kami telah mencuba yang terbaik untuk membawa pembangunan sehingga ke kawasan luar bandar.. tapi ia tidak mencukupi.. kita akan lakukan lebih lagi)

“July 22nd declared a public holiday to commemorate great sacrifices in our past struggles culminating in the establishment of self-government for Sarawak”

(22 Julai diisytiharkan sebagai cuti umum bagi memperingati pengorbanan besar perjuangan masa lalu yang membawa kepada penubuhan kerajaan sendiri untuk Sarawak)

“Ini Sarawak punya olang, bisi Melayu, bisi orang Cina, bisi orang Dayak, bisi orang Bidayuh, duduk sama, minum sama, makan sama, carik amoi pun sama.”

(Orang Sarawak ini ada orang Melayu, Cina, Dayak, Bidayuh, duduk sama, minum sama, makan sama, cari gadis pun sama)

“Sarawak tidak boleh menjadi sebuah kerajaan tanpa adanya Melayu, Iban, Cina, Bidayuh atau Orang Ulu.”

"Kita perlu menunaikan janji kita yang lama sebelum membuat janji yang baharu."