Selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan barisan Kabinet, kini satu petisyen tular di media sosial yang meminta supaya Tun Dr Mahathir meneruskan hasrat sebagai Menteri Pendidikan.

Petsyen dilancarkan menerusi www.change.org

Tidak diketahui, apakah matlamat petisyen itu tetapi ia jelas meminta supaya Perdana Menteri kekal dengan keputusan awal memegang portfolio Menteri Pendidikan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menegaskan beliau tidak akan melanggar Manifesto Pakatan Harapan (PH) yang menetapkan bahawa Perdana Menteri tidak boleh memegang dua portfolio di dalam Kabinet.

"Saya tidak boleh melanggarnya. Memang ada permintaan untuk saya menjadi Menteri Pendidikan," katanya dalam video yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Petang tadi juga, Perdana Menteri turut mengumumkan senarai nama untuk 15 Menteri Kabinet baharu.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malek dinamakan sebagai Menteri Pendidikan.