Sebagai sebahagian daripada sokongan terasnya terhadap keselamatan, syarikat minyak terkemuka Petron Malaysia bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia untuk melancarkan paparan struktur Go-To Safety Points (GTSP) di stesen minyak Petron di Lembah Klang.

Paparan Struktur GTSP merupakan sebahagian daripada inisiatif lebih besar yang dibuat oleh Petron Malaysia bagi mempromosikan pencegahan jenayah dan memastikan keselamatan masyarakat sekeliling.

Paparan struktur akan membantu mewujudkan kesedaran keselamatan di kalangan pelanggan dan pengunjung stesen minyak.

Menggunakan papan besar bersaiz 12 hingga 8 kaki, paparan struktur menarik ini menggunakan mesej objektif GTSP untuk keselamatan dan bantuan kecemasan yang ringkas dan mudah untuk difahami.

"Sebagai sebahagian daripada kerjasama kami bersama Polis Diraja Malaysia, kami telah mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan kesedaran mengenai Go-To Safety Points dengan pelancaran paparan struktur yang menampilkan mesej ringkas tetapi kreatif di stesen minyak Petron terpilih.

"Karya seni ini menampilkan karikatur yang dapat menarik perhatian pelanggan kami dari semua peringkat umur dan mempromosikan pencegahan jenayah dengan mudah," kata Faridah Ali, Ketua Jabatan Dagangan Runcit, Petron Malaysia.

10 paparan struktur dengan 3 jenis karya seni dan mesej yang berbeza boleh didapati di stesen minyak Petron yang strategik di Lembah Klang iaitu stesen minyak Petron di MRR1/Safari, Kesas Arah Timur, Mile 3 Federal Highway, Kuchai Lama, MRR2 Selayang, Taman Tun Dr Ismail, Lebuh raya Damansara-Puchong Arah-KL, Bangi Seksyen 10, dan Kawasan Rehat dan Perkhidmatan (RSA) Lebuh raya PLUS Seremban Arah Utara.

Lebih banyak stesen akan ditambah secara berperingkat di Johor Bahru, Pulau Pinang dan negerinegeri lain.

Miss Universe Malaysia 2016 dan duta keselamatan Petron Malaysia, Cik Kiran Jassal berkongsi mesej keselamatan untuk wanita di stesen minyak Petron MRR2 Selayang.
Miss Universe Malaysia 2016 dan duta keselamatan Petron Malaysia, Kiran Jassal berkongsi mesej keselamatan untuk wanita di stesen minyak Petron MRR2 Selayang.

Dilancarkan oleh Polis Diraja Malaysia pada tahun 2013, Program Go-To Safety Points bertujuan untuk memastikan masyarakat setempat selamat dengan pencegahan jenayah dan menjadikan kawasan kejiranan lebih selamat.

"Stesen minyak kami lebih daripada sekadar tempat untuk mengisi minyak.

"Semua stesen Petron menawarkan respons asas awal untuk kecemasan manakala kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia memastikan tindakan segera terhadap setiap kecemasan," tambah Faridah.

Syarikat minyak terkemuka Petron Malaysia bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia untuk melancarkan paparan struktur Go-To Safety Points (GTSP) di stesen minyak Petron di Lembah Klang.
Syarikat minyak terkemuka Petron Malaysia bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia untuk melancarkan paparan struktur 'Go-To Safety Points' di stesen minyak Petron di Lembah Klang.

Petron Malaysia merupakan syarikat minyak pertama yang menyertai inisiatif GTSP.

Kesemua stesen minyak Petron diiktiraf GTSP, menjadikan stesen ini titik keselamatan buat pelanggan dan masyarakat setempat yang memerlukan bantuan polis segera.

Melalui program ini, pengusaha Petron yang terlatih dapat berkhidmat kepada masyarakat dan memainkan peranan aktif dalam menyumbang kepada komuniti yang lebih selamat, terutamanya semasa kecemasan.