Petronas enggan mengulas laporan bahawa perkhidmatan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai penasihat syarikat minyak negara itu telah ditamatkan.

"Saya membacanya di media, tidak ada komen buat masa ini," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin ketika ditemui di Persidangan Industri Petrokimia Asia ke-39 (APIC) 2018 di sini, hari ini.

Laporan berita sebelum ini menyebut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai berkata bahawa kerajaan telah mengeluarkan notis penamatan perkhidmatan kepada Abdullah.

Menurutnya, penamatan perkhidmatan ini dianggap sebagai keputusan yang tepat kerana syarikat minyak negara adalah sebuah syarikat yang dikendalikan dengan baik dan tidak memerlukan penasihat.

Sementara itu, Petronas dijadual mengumumkan keputusan kewangan suku kedua pada Ogos 2018.

-- BERNAMA