Petronas sedang melaksanakan kajian bagi mengenal pasti pilihan yang ada dalam usaha menangani situasi kecemasan seperti letupan yang berlaku di projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID), Pengerang, pada 12 April lalu.

Menurut Ketua Pemegang Kepentingan, Komunikasi dan Bahagian Pengurusan Risiko Petronas Refinery and Petrochemical Corporation (PRPC) Sdn. Bhd., Datin Anita Azrina Abdul Aziz kajian tersebut akan menilai kepada semua aspek mengenai keselamatan.

“Kami sedang melihat pilihan untuk tangani situasi jika ada lagi insiden seperti itu berlaku, tapi perlu diketahui bahawa loji penapisan minyak di kompleks ini mempunyai rekaan zon penampan yang mengikut standard antarabangsa.

“Segalanya direka bagi memastikan semuanya selamat dan kami juga mengikut amalan standard antarabangsa,” katanya ketika ditemui media semasa lawatan ke tapak projek petrokimia di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), di Pengerang, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Anita Azrina turut menyatakan pihaknya telah membaiki kerosakan yang berlaku terhadap rumah yang terjejas di sekitar kawasan itu selepas insiden berkenaan.

“Selepas itu, kami adakan sesi untuk memberitahu penduduk di kawasan sekitar mengenai aktiviti yang kami akan buat dalam beberapa minggu lagi, malah sesi bersama mereka diadakan sebulan sekali,” jelas beliau.

Pada 12 April lalu, Petronas mengesahkan berlaku letupan dan kebakaran di Kompleks Bersepadu Pengerang kira-kira jam 1.25 pagi.

Menurut laporan media, dua warga tempatan cedera serta beberapa buah rumah mengalami kerosakan akibat insiden berkenaan.