BERCAKAP mengenai topik rokok dan niat untuk berhenti merokok, bukannya sesuatu yang mudah.

Amat susah, tetapi tidak mustahil!

Dan bagi Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Azhar Azizan Harun yang merupakan seorang bekas perokok, ia merupakan suatu keputusan yang dibuatnya secara spontan pada majlis makan malam hari jadi ke-40.

“Semasa saya henti merokok, terdapat kesannya terhadap saya. Satu adalah ketagihan dan satu lagi kesannya ialah tabiat.

BACA: 10,000 rakyat Malaysia mati setiap tahun berkait tabiat merokok. Anda mahu jadi statistik?

“Tabiat itu susah untuk dihentikan. Hal ini kerana dulu, sebagai contoh, saya sampai di pejabat dan bancuh kopi, saya hisap rokok. Ataupun semasa kita makan dan ada lauk kari, saya hendak hisap rokok. Apabila menjawab telefon, saya hendak hisap rokok. Ia merupakan satu tabiat,” kata Azhar ketika dihubungi Astro AWANI.



Setelah berhenti selama 16 tahun, Azhar yang lebih dikenali sebagai Art Harun berkata kunci untuk berhenti merokok sepenuhnya adalah untuk menjadikannya sebagai resolusi anda.

“Jadikan ia sebagai resolusi anda. Namun begitu, anda perlu mengumumkan niat anda untuk berhenti merokok kepada orang lain.

“Anda kena beritahu orang sekeliling anda bahawa resolusi anda adalah untuk berhenti merokok supaya semua orang tahu.

“Dan jika anda gagal, anda akan berasa malu. Oleh itu, jangan simpan resolusi anda sebagai rahsia,” tambahnya.

Itu kata-kata Art Harun yang berjaya membuang tabiat merokok setelah membuat percubaan kali kedua.

Bagaimana pula dengan anda?