Petugas perubatan khususnya dalam bidang kardiologi digesa agar sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan berkenaan pencegahan dan perawatan penyakit tersebut seiring perkembangan teknologi ketika ini.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan) Kementerian Kesihatan Malaysia Datuk Dr Azman Abu Bakar berkata ini bagi memastikan mereka mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit.

"Penyakit kardiovaskular merupakan antara pembunuh utama di mana-mana negara di dunia ini, oleh itu semua petugas yang terlibat dalam perawatan penyakit jatung perlu bersedia dengan pengetahuan terkini bagi mengurangkan kadar kematian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan ke-11 Asia Pacific Cardiology Update@USM 2018, di sini hari ini.

Mengulas mengenai persidangan selama tiga hari sehingga esokitu, Dr Azman berkata ia boleh menjadi antara platform terbaik untuk petugas perubatan bertukar-tukar pendapat mengenai gejala penyakit berkenaan serta teknologi terbaharu bagi merawat penyakit jantung.

Persidangan itu merupakan program tahunan anjuran bersama Persatuan Perubatan Penyakit Dalaman Universiti Sains Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Persatuan Jantung Negara Malaysia yang bertujuan berkongsi pengetahuan semasa berkaitan bidang perubatan kardiologi dari seluruh dunia.

-- BERNAMA